Monday 13 February 2012

Pelihara Hamster Berisiko, Virus Air Kencing Tikus

Pelihara Hamster Berisiko Diserang Virus Air Kencing Tikus



HULU TERENGGANU – Orang ramai  khususnya kanak-kanak yang gemar memelihara  haiwan dari spesies tikus, hamster perlu  berwaspada kerana mereka turut dikhuatiri  berisiko dijangkiti virus air kencing tikus yang boleh  membawa maut.
Ini berdasarkan kes seorang mangsa yang  memelihara haiwan tersebut dipercayai telah  diserang virus itu atau Leptospirosis.
Perkara itu didedahkan Pengerusi Jawatankuasa  Belia dan Sukan negeri yang juga Ahli Dewan  Undangan Negeri (ADUN) kawasan Telemong,  Rozi Mamat.
Beliau yang enggan menjelaskan secara terperinci  mengenai mangsa terbabit mengakui mangsa  merupakan kenalan rapat beliau.
Menurutnya, dua belah tangan serta dua belah  kaki mangsa terpaksa dipotong setelah dipercayai  ada kaitan dengan virus air kencing tikus.
Justeru itu, beliau menggesa pihak-pihak berwajib  termasuk Kementerian Kesihatan supaya segera  membuat pemantauan mengenai hobi  memelihara hamster bagi memastikan haiwan itu  tidak mendatangkan kemudaratan.
“Kita menggesa pihak berkenaan termasuk  Kementerian Kesihatan agar pantau perkara ini  dan sekiranya benar-benar boleh memudaratkan,  tindakan drastik perlu diambil.
“Ini kerana, kita tahu haiwan sangat diminati ramai  terutama kanak-kanak untuk memeliharanya.  Pastikan ianya tidak berbahaya dan selamat,”  katanya kepada pemberita selepas merasmikan  majlis Penyampaian Sumbangan Program Jalinan  Murni Masyarakat Orang Asli di Kampung Sungai  Berua dekat sini hari ini.
Dalam perkembangan yang sama, Rozi turut  menasihati orang ramai khususnya masyarakat  Orang Asli di perkampungan itu agar sentiasa  menjaga kebersihan termasuk meminum air  bersih yang dimasak bagi mengelak diserang virus  tersebut.
Ini kerana jelasnya, sebelum ini, perkampungan itu  digemparkan dengan puluhan Orang Asli di situ  termasuk murid sekolah terpaksa dirawat di  hospital akibat dipercayai diserang virus hepatis A  dan virus air kencing tikus.
Oktober tahun lalu, Jabatan Kesihatan negeri  mengesahkan dua daripada kesemua 24 Orang  Asli di kawasan penempatan Sungai Berua, Hulu  Terengganu dijangkiti wabak air kencing tikus atau  virus Leptospirosis.
Seramai 13 lagi Orang Asli disahkan menghidap  hepatitis A atau penyakit kuning manakala  sembilan yang lain masih belum diketahui  statusnya.
Kesemua mangsa terdiri daripada sembilan orang  yang berusia satu hingga enam tahun diikuti tujuh  hingga 12 tahun (tujuh orang), 12 hingga 17  tahun (tiga orang) dan yang berusia 18 tahun ke  atas (lima orang). - mynewshub

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

© nadiaelias.com, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena