D.J. Dave Rakam Lagu Whitney Houston Versi Hindi D.J. Dave Rakam Lagu Whitney Houston Versi Hindi

KUALA LUMPUR – Penyanyi veteran Datuk D.J. Dave menganggap lagu popular nyanyian mendiang Whitney Houston berjudul I’ve Always Love You yang dirakamkannya pada minggu lalu sebagai suatu tribute atau penghargaan terhadap penyanyi kulit hitam terbabit.

Menurut Dave, 64, dia yang merakamkan lagu itu secara duet dengan Marsha Londoh bukan sahaja menganggapnya sebagai suatu tribute tetapi turut menyanyikan lagu itu dalam versi Hindi sebagai kelainan yang mahu disajikan kepada para peminat masing-masing.

“Saya merakamkan lagu I’ve Always Love Love pada minggu lalu dan Sabtu lalu Whitney Houston meninggal dunia. Saya anggap itu sebagai suatu kebetulan. Saya memang kerap menyanyikan lagu itu secara duet antaranya dengan Datuk Siti Nurhaliza dan Dayang Nurfaizah sebelum ini.

“Terbaru saya merakamkan lagu itu bersama Marsha Londoh tetapi kali ini dalam versi liriknya separuh dalam bahasa Hindi dan Inggeris. Saya menyanyikan sebahagian lirik itu dalam Hindi dan sebahagian lagi dalam bahasa Inggeris oleh Marsha,” katanya kepada para wartawan semalam.

Bapa kepada tiga anak berusia 24 hingga 37 tahun itu berkata demikian sewaktu ditemui selepas majlis ulang tahun kelahirannya yang ke-64 yang diadakan di Royale Lake Club, Tasik Perdana, Kuala Lumpur bersama kira-kira 300 penghuni rumah kebajikan di sekitar ibu negara.

Pada majlis itu, penyanyi yang popular dengan lagu berjudul Rintihan Rasa yang berduet dengan Uji Rashid, beliau mengumumkan konsert terbarunya, Sketsa Memory – D.J. Dave yang akan diadakan di Panggung Sari, Istana Budaya di sini pada 1, 2 dan 3 Jun ini.