Wednesday 15 February 2012

Zarina Anjoulie : Kenapa kontroversi saja?


MENGAKUI kehidupan peribadinya sering diberikan lebih tumpuan, Zarina Anjoulie Lavocah (gambar ) masih menaruh harapan supaya kerjaya seni turut diberi perhatian yang berpatutan.Bukan hendak membanggakan diri, tetapi hakikatnya dia juga berasakan mempunyai kesungguhan dan bakat untuk menghasilkan lakonan yang baik.


Dikenali dengan cerita kehidupannya yang dikatakan suka bersosial berlebih-lebihan dan paling menggemparkan bergambar dalam aksi mengghairahkan menerusi sebuah majalah di Indonesia, Zarina menganggap semua itu tidak menjejaskan tumpuannya sebagai pelakon. 

Malahan dia mahu terus membuktikan hasil kerja lakonannya mendapat perhatian daripada penerbit dan pengarah filem berkaliber. 

Malahan mengharapkan dengan lakonan yang mantap dapat mengurangkan kisah kehidupan peribadinya yang sentiasa sensasi. 

Langkah awal Zarina dalam bidang lakonan mendapat bimbingan secara tidak langsung daripada Datuk Paduka Shuhaimi Baba menerusi drama bersiri sumpah anak Anak Pontianak.

Baru menghabiskan program muzikal TV iaitu Kampus yang dihasilkan oleh Akademi Seni Warisan Dan Budaya (ASWARA), dia kini sedang menghabiskan penggambaran filem Ular arahan Jason Chong dan diterbitkan oleh KRU Studios. 

Tatkala penggambaran filem Ular di Pulau Pangkor hampir habis, dia ‘disambar’ pula oleh Mamat Khalid untuk beraksi dalam filem Amir Dan Lukman Pergi Ke Laut. Penggambaran filem arahan Mamat itu rancak dilakukan di sekitar Ipoh, Perak. 
"Datuk Shuhaimi, KRU dan sekarang dengan Abang Mamat Khalid, mereka semua bukanlah sebarangan orang dalam industri ini (perfileman).

"Sudah tentu mereka ambil saya berlakon bukan sebab kontroversi atau cerita sensasi tapi sudah tentu kerana bakat dan kemampuan saya.

"kalaupun cerita kontroversi itu memang lebih menarik, tapi janganlah menafikan kebolehan saya berlakon," katanya.

Mamat Khalid sendiri tidak menafikan dia mengambil Zarina berlakon dalam filem terbarunya itu kerana wanita ini memang ada bakat dan kesungguhan yang baik terhadap kerja lakonannya, tetapi memerlukan sokongan serta bimbingan. 

Cuma cerita sensasi dan kontroversi saja menenggelamkan kemampuan sebenar dirinya untuk menonjolkan diri sebagai antara pelakon yang bagus. 

Ditemui ketika penggambaran filem Amir Dan Lukman Pergi Ke Laut, Zarina berkata, dia juga berasa beruntung kerana menerusi filem itu berpeluang digandingkan dengan pelakon hebat seperti Sofi Jikan.

"Ramai yang dikatakan sudah lama jadi pelakon, tetapi berapa ramai yang dapat peluang berlakon bersama pengarah dan pelakon terbaik.

"Sebab itulah, saya berasakan sungguh bernasib baik dan bertuah kerana walaupun dianggap baru, tapi sudah dapat peluang berlakon dengan orang seperti Sofi Jikan. Kita tahu, Sofi Jikan antara pelakon terbaik," katanya yang memegang watak Balkis iaitu kekasih kepada Ketua gangster lakonan Sofi Jikan. 

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

© nadiaelias.com, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena