Wednesday 22 February 2012

Wanita Terjatuh Tingkat 5 Selepas Tikam Suami


 Wanita terjatuh tingkat lima lepas tikam suami
ANGGOTA polis menjalankan siasatan ke atas wanita yang dipercayai terjatuh dari tingkat lima pangsapurinya di Desa Permata, Bandar Baru, Georgetown, semalam.

GEORGETOWN: Seorang wanita warga China maut selepas terjatuh dari tingkat lima pangsapurinya ketika melarikan diri selepas mencederakan suaminya hingga pengsan dalam satu pergaduhan di Desa Permata, Bandar Baru, di sini awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 1 pagi itu, mangsa yang berusia 37 tahun mati di tempat kejadian akibat kecederaan dalaman selepas jatuh dari pangsapuri terbabit, manakala suaminya berusia 44 tahun tidak sedarkan diri apabila diserang menggunakan objek tumpul serta pisau.

Difahamkan, pasangan terbabit yang berkahwin dua tahun lalu bertengkar kerana suaminya dipercayai mempunyai perempuan simpanan.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng, berkata ketika kejadian lelaki terbabit dalam keadaan mabuk sebelum tertidur.

Katanya, isteri lelaki itu kemudian bertindak menikam mangsa menggunakan pisau serta memukul kepalanya menggunakan objek tumpul sehingga menyebabkannya tidak sedarkan diri.

Beliau berkata, wanita itu kemudian cuba melarikan diri melalui tingkap rumahnya tetapi tergelincir dan terjatuh ke bawah, menyebabkannya mengalami kecederaan serta pendarahan dalaman.

“Wanita itu turut mengalami kecederaan di bahagian belakang dada dan kedua-dua siku. Mayatnya dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk bedah siasat,” katanya di sini, semalam.
Kong Meng berkata, pemeriksaan terhadap badan suaminya yang kini dirawat di HPP mendapati 10 kesan tikaman dan polis yang membuat pemeriksaan di rumah pasangan terbabit menemui pisau di katil dengan kesan darah.

“Polis mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut dan hasil siasatan mendapati tiada sebarang unsur jenayah berlaku dalam kes terbabit kerana wanita itu tergelincir ketika cuba melarikan diri.

Sementara itu, seorang pengawal keselamatan yang hanya mahu dikenali sebagai Ang berkata, dia pada mulanya terdengar bunyi bising dari tingkat lima pangsapuri terbabit dipercayai suara pasangan itu sedang bertengkar.

Katanya, dia enggan mencampuri urusan rumah tangga mereka kerana sebelum ini pernah juga beberapa kali mendengar pasangan terbabit bertengkar.

“Namun, tidak lama selepas itu tiada lagi bunyi bising kedengaran dan saya hanya terdengar ada benda terjatuh di atas jalan. Saya terkejut apabila melihat seorang wanita yang sudah tidak bergerak dalam keadaan terlentang di situ,” katanya.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

© nadiaelias.com, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena