Monday, 13 February 2012

Kahwin, Iqram Kena Cari RM100,000



SEPANJANG bergelar aktor pelbagai pahit manis anak seni telah dilalui oleh Iqram Dinzly atau nama sebenarnya Muhammad Iqram Dinzly Muhammad Saipuddin.
Pernah dua kali terlintas di fikirannya untuk meninggalkan dunia seni kerana enggan terus hanyut dalam syurga dunia serta beralih angin ke bidang perniagaan.
Bagaimanapun jiwa seninya mahu dia meneruskan kerjaya sebagai aktor. Kini, Iqram menjadi seorang lelaki yang lebih matang, malah, dia turut terfikir untuk berumah tangga namun, akui Iqram dia masih mengumpul duit untuk berkahwin.
Ikuti temu bual Kosmo! bersama Iqram yang ditemui pada majlis pelancaran produk dan pelantikannya sebagai duta produk Ayamazz Roti Impit baru-baru ini.
Kosmo!: Tahun lepas Iqram pernah berkata ingin menamatkan zaman bujang pada tahun ini, jadi perkahwinan Iqram akan berlangsung tahun ini?
Iqram: Sebenarnya diri saya telah bersedia untuk berkahwin tetapi untuk berkahwin bukan perkara yang mudah. Jika saya ingin berkahwin saya akan pastikan saya mempunyai wang sebanyak RM100,000.
Maknanya, Iqram belum bersedia daripada segi kewangan?
Saya ada duit tetapi untuk meminang anak dara orang perlu pakai banyak duit, kalau orang biasa perbelanjaan mencecah RM50,000. Saya artis, jika saya kahwin saya merancang untuk buat tiga majlis, satu untuk keluarga di Ipoh, Perak, rakan-rakan dan pihak media di Kuala Lumpur serta sebelah pihak perempuan. Jadi bajet perkahwinan saya adalah RM100,000, selagi saya tidak dapat kumpul RM100,000 saya tidak akan berkahwin.
Bukankah perkahwinan artis selalu mendapat tajaan daripada pelbagai pihak?
Ya, memang benar tetapi saya juga harus mengeluarkan wang sendiri. Rasa tidak seronok kalau semuanya ditaja sedangkan majlis perkahwinan itu majlis saya.
Bercakap mengenai perkahwinan, adakah Iqram sudah mempunyai kekasih hati?
Memang saya ingin berkahwin kerana usia pun sudah masuk angka 31 tahun, tetapi saya masih belum bertemu dengan gadis pilihan hati. Berkasih, bersayang itu senang tetapi untuk bercinta itu satu perkara yang sukar.
Sebelum ini Iqram pernah berkata, jika tidak bertemu gadis pilihan, Iqram akan melepaskan tanggungjawab itu kepada ibu untuk mencari calon isteri. Benarkah?
(Ketawa) Saya rasa lebih baik saya cari sendiri, kalau jadi lelaki kasanova senang sahaja tetapi untuk menjadi lelaki yang mencintai hanya seorang wanita dalam hidupnya, bagi saya susah. Senang cakap saya belum bertemu orang yang sesuai.
Wanita yang jadi pilihan hati Iqram?
Saya ingin wanita yang memahami saya, kalau boleh bila saya kahwin saya mahu isteri saya berkahwin bukan sahaja dengan saya tetapi keluarga dan rakan-rakan saya. Saya tidak mahulah bila saya berkahwin, saya berubah terlalu drastik seperti tidak boleh keluar jumpa rakan-rakan.
Kenapa Iqram pernah terfikir untuk meninggalkan dunia seni sebanyak dua kali?
Sepanjang lima tahun saya berkecimpung dalam dunia seni, saya akui yang kadangkala saya hanyut dengan syurga dunia. Pertama kali perasaan untuk berhenti berlakon datang ketika saya menunaikan umrah pada tahun 2006, kali kedua perasaan itu datang apabila saya balik daripada lawatan ke Turki baru-baru ini. Saya terfikir untuk berhenti dan lakukan perniagaan tetapi jiwa saya mahu terus dekat dengan dunia seni. Alhamdulillah, walaupun masih berlakon, sekarang ada perubahan positif mendekatkan diri dengan Allah.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

© nadiaelias.com, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena