facebook01 Facebook, Twitter bukan cara saya  Eja
PELAKON Siti Shahrizah atau Eja mengakui dirinya seorang konservatif kerana tidak memiliki Facebook mahupun Twitter, meskipun golongan artis berlumba-lumba menjadikan laman sosial sebagai medium untuk mendekatkan diri dengan peminat.

Pada waktu sama, medium itu turut menjadi tempat meluahkan perasaan terbuku di hati, malah ada juga sebahagian selebriti menjadikan laman sosial sebagai tempat untuk berbalah.

Aktres yang berjaya menempatkan dirinya dalam senarai Top 5 bagi kategori Pelakon Filem Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2011 itu bagaimanapun tidak kisah dilabel ketinggalan zaman.

Cara dia mendekatkan diri dengan peminat bagai memadai menerusi karya lakonannya, kerana kata ibu kepada seorang cahaya mata itu, laman sosial hanya akan menyebabkan dia kehilangan kehidupan privasi.

“Ketakutan berlaman sosial membuatkan saya lebih selesa membiarkan karya yang menceritakan segala-galanya mengenai diri saya. Walaupun tidak berkomunikasi dengan peminat, tetapi mereka masih lagi memberikan sokongan.

“Alhamdulillah, 2011 ialah tahun bertuah untuk saya apabila memenangi dua anugerah untuk filem Janin. Karya itu sekali lagi mengangkat nama saya apabila berjaya berada dalam senarai Top 5, ABPBH kali ini.

facebook02 Facebook, Twitter bukan cara saya  Eja

“Lebih istimewa, sebelum ini empat kali nama saya dicalonkan untuk kategori Pelakon TV Wanita Popular, tetapi tahun ini nama saya dicalonkan untuk kategori berbeza pula. Saya bersyukur walaupun tanpa laman sosial, peminat masih ingat dan sanggup bersusah payah untuk mengundi.

“Saya tidak selesa mempunyai akaun Facebook dan Twitter kerana apabila memilikinya nanti, saya bimbang akan menulis segala-galanya termasuklah mengenai kehidupan peribadi. Daripada kisah peribadi diketahui umum, lebih baik untuk tidak memilikinya,” katanya yang pernah memenangi kategori Pelakon TV/VCD Wanita Popular pada ABPBH2004.

Resipi digunakan pelakon yang mula dikenali kerana drama bersiri Rahsia Demi Rahsia ini adalah bersikap selektif di dalam memilih karya.

“Saya tidak mahu berlakon ratusan drama dan puluhan filem, tetapi tidak meninggalkan sebarang kesan kepada penonton,” katanya penuh yakin.

Sepanjang 15 tahun bergelar pelakon, kata Eja, penonton boleh membilang sendiri berapa banyak drama dan filem pernah dijayakannya. Memang menjadi prinsipnya melihat kepada warkah, jalan cerita serta karakter yang hendak dibawakan terlebih dulu sebelum menerima sesuatu tawaran.

“Saya berlakon bukan untuk hiburan semata-mata. Prinsip saya, setiap kali berlakon kenalah ada impak yang besar, biarlah kualiti lakonan mengatasi kuantiti drama dijayakan.

“Bukan apa, jika saya tiada satu hari nanti, biarlah generasi baru dapat menerima lakonan saya. Saya mahu menjadi seperti Allahyarham Tan Sri P Ramlee yang masih disanjung sehingga kini. Disebabkan keinginan itu, saya mengambil keputusan bersikap lebih selektif,” kata Eja yang bersyukur dengan pencalonan ini setelah namanya tercicir tiga kali.